19 April 2008

Penyingkiran Abdullah: Mengapa Mahathir tak sabar-sabar?

Sejak Umno dilanda tsunami politik pada PRU-12 yang lalu, topik yang paling hangat diperkatakan adalah “pemulihan” atau “peremajaan” parti itu.

Sayangnya tidaklah terdapat sebarang tenaga cendekia yang cukup mantap dalam batang tubuh Umno sendiri yang mempunyai daya berfikir yang mantap untuk menawarkan sebarang gagasan bagi melaksanakan upaya penyelamatan itu.

Para pemimpin Umno yang ada, seperti biasa, terlalu sibuk mempertahankan diri dan menyalahkan orang lain bagi malapetaka besar yang dialaminya baru-baru ini.

Golongan pemimpin semasa dalam Umno yang terhutang budi kepada Abdullah sebagai penyelamat kerjaya politik mereka – sesetengahnya terpaksa dikitar semula dari timbunan sampah kerjaya yang penuh kejelekan dan korupsi – terpaksa mempertahankan Abdullah dengan hujah-hujah yang melucukan.

Golongan pimpinan angkatan muda dalam Umno juga tampaknya tidak memperlihatkan kemantapan diri mereka sebagai para pemikir dan tenaga pembaruan atau reformis yang mantap dalam Umno. Mereka terlalu sibuk berlatih untuk permainan yang lumrah dalam Umno – yakni berebut kuasa – selain sibuk mengampu golongan pemimpin yang ada demi menjamin masa depan kerjaya mereka masing-masing.

Jika adapun golongan yang tampaknya cukup ghairah dan berani menyuarakan pendapat dalam usaha menyingkirkan Abdullah – dan usaha ini mereka tafsirkan sendiri sebagai upaya menyelamatkan Umno dan Melayu – maka golongan itu terdiri daripada para pemimpin veteran, golongan yang sudah bersara atau telah tersingkir dan berasa telah dianiaya oleh Abdullah.

Golongan tersingkir ini terdiri daripada pelbagai jenis – daripada mereka yang tidak dipilih untuk bertanding pilihanraya, kalah pilihanraya, menang pilihanraya tetapi tidak dipilih menganggotai kabinet, atau mereka yang sengaja mencoba “mengendeng” kembali untuk mendekati PM – seperti Sang Kelembai yang baru-baru ini melakukan “korner baring” dan mengucup tangan Abdullah di Lapangan Terbang Kota Kinabalu!

Memang tidak dapat dinafikan bahawa memang terdapat di kalangan mereka ini para tokoh yang memang secara ikhlas berasa risau dan khuatir tentang nasib Umno di bawah pimpinan Abdullah – dan memang benar-benar mahu menyumbangkan baktinya untuk menyelamatkan dan meremajakan Umno.

Antara tokoh yang demikian itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Sayangnya, bagi saya, Ku Li ini lebih kuat semangat, iltizam dan azamnya untuk menyelamatkan dan meremajakan Umno. Namun dari segi kreativiti pemikiran dan kemantapan cendekianya, tidak ada sesuatu yang segar lagi meyakinkan yang telah diutarakannya untuk membantu Umno bangkit kembali dari pukulan maut tsunami yang baru dialami itu.

Paling jauh, Ku Li sekadar menyeru dibangkitkan semangat dan daya untuk menghidupkan kembali semangat “asal” Umno yang berakar umbi pada milieu sosial masyarakat majmuk zaman kolonial dan konsep longgar perjuangan Umno tentang “ketuanan” Melayu yang telah dituangkan ke dalam acuan yang bernama DEB sejak lebih tiga dasawarsa yang lalu.

Oleh kerana Ku Li paling berani bersuara, maka bukan sedikit para pemimpin lama yang telah bersara atau dikesampingkan itu turut bergayut sahaja di ekor perjuangan dan semangat Ku Li.

Semua pihak yang melancarkan inisiatif menentang Abdullah dan menuntut pengundurannya itu sekurang-kurangnya sekata suara mereka dalam menunjangkan perjuangan itu atas hasrat menyelamatkan Umno sebagai sebuah institusi politik dan sosial yang ditakrifkan sebagai “payung” dan “penyelamat” orang Melayu.

Dalam hubungan ini, kita kurang pasti apakah yang sebenarnya mau diselamatkan itu ialah Umno sebagai payung Melayu atau sekadar beberapa unsur dongeng atau mitos tentang Umno yang dibiar berleluasa selama ini.

Apakah benar nasib orang Melayu di negara ini akan tertimbus sepenuhnya jika Umno dibiarkan berakhir, kerana sudah tidak dapat diselamatkan lagi, kerana tidak lagi mampu menyelaraskan kewujudannya dengan kewujudan sebuah struktur dan milieu sosial yang sudah amat berubah pada abad kedua puluh satu ini?

Sejak tercetusnya sejarah perjuangan nasionalisme Melayu dan sejak tercapainya kemerdekaan, Umno telah merupakan tenaga politik dominan dalam sejarah politik negara ini.

Jika hari ini kita mengatakan bahawa kedudukan orang Melayu yang dihitung berdasarkan hujah peratusan oleh kalangan pemimpin Melayu sendiri, berdasarkan perkiraan masyarakat majmuk zaman kolonial itu, masih mundur dan keterbelakang berbanding bangsa-bangsa asing di negara ini, maka siapakah yang bertanggungjawab bagi keadaan itu?

Jika cita-cita muluk dan murni perjuangan nasionalisme Melayu – misalnya kedudukan bahasa Melayu, pendidikan Melayu, pendidikan tinggi Melayu, martabad dan harga diri Melayu di alam sejagat – tidak tercapai (malah merosot setelah mendaki beberapa kejayaan awal), maka siapakah yang bertanggungjawab kalau bukan Umno?

Dan kini, mitos tentang payung dan penyelamat Melayu inilah yang coba ditegakkan untuk menyelamatkan parti yang ternayata sudah hilang kerelevanannya dan tidak memperlihatkan daya cendekia untuk meneruskan kerelevanan itu.

Jika difikirkan secara mendalam lagi objektif, tidakkah lebih realistik membiarkan sahaja Umno berkubur (sebagaimana parti-parti lama di negara-negara lain pernah berkubur) dan memberikan peluang kepada para pemimpin lain yang mempunyai konsep perjuangan yang segar tentang kedudukan Melayu dalam kerangka masyarakat dan negara Malaysia pelbagai kaum yang baru melaksanakan perjuangannya dalam kerangka dan wadah baru di luar wadah Umno itu.

Selain itu, saya agak khuatir sejauh manakah perjuangan golongan tua yang ingin meremajakan Umno ini merupakan perjuangan yang sekata dari segi kemurnian cita-citanya.

Jika usaha dan upaya Ku Li terbukti tulus dan murni, maka sejauh manakah pula kemurnian perjuangan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Abdullah? Apakah dia sebenarnya berminat untuk menyelamatkan Umno daripada pemimpin yang lemah seperti Abdullah, atau dia sebenarnya lebih berminat untuk menyelamatkan diri dan warisannya sendiri daripada dibiarkan terdedah tanpa dilindungi oleh pimpinan Abdullah yang lemah?

Yang sukarnya bagi Mahathir, berlainan daripada Ku Li, dia tidak wajar bertindak lebih agresif dengan mencabar kedudukan Abdullah sebagai Presiden parti. Langkah yang demikian akan memperlihatkan dirinya sebagai “gila kuasa” dan ingin campur tangan – sedangkan kenangan rakyat tentang kebobrokan zaman pemerintahannya sendiri masih segar!

Yang untungnya bagi Mahathir ialah hakikat bahwa beliau lebih articulate (meskipun tidak selalu lebih kredibel hujah dan lojiknya) daripada sebarang pemimpin Umno yang lain. Oleh itu dia menjadi penceramah kegemaran di kalangan bahagian-bahagian Umno yang berasa agak kurang senang dengan kepimpinan Abdullah.

Meskipun Ku Li bersedia menyusun langkah yang tertib dan mengikut kaedah yang wajar untuk mengatur cabarannya terhadap kepimpinan Abdullah, namun Mahathir secara terang-terangan memperlihatkan sikap tidak sabarnya untuk melihat Abdullah dihumban keluar oleh Umno.

Jelaslah bahawa beliau lebih ingin melihat Abdullah disingkirkan melalui proses yang berlaku dalam kerangka batang tubuh Umno sendiri – dan bukannya melalui satu proses yang melibatkan pihak pembangkang di Parlimen, misalnya.

Jika Abdullah tersingkir melalui proses yang berlaku dalam Umno sendiri, maka kemungkinan Mahathir melindungi nama dan warisan dirinya akan menjadi lebih terjamin – khususnya jika pengganti Abdullah sebagai PM kelak merupakan seseorang yang dapat dimanipulasinya atau disertai oleh anaknya sendiri yang berada dalam kelompok kepimpinan baru itu.

Dalam keadaan sekarangpun “keselamatan” kredibiliti Mahathir telah beberapa kali dipersoalkan dalam hubungan dengan peranannya dalam kes pita Lingam atau dalam kes yang ditimbulkan oleh peguam kanan Param Coomaraswamy baru-baru ini.

Dalam kes-kes yang demikian, Mahathir tampaknya lebih banyak mencuba berlindung di sebalik kegagalan daya pengingatannya sendiri atau berselindung di sebalik technicality – sama ada sesuatu itu merupakan prerogatifnya sebagai PM maupun kerana beliau dikelirukan oleh fakta dan nasihat yang kurang jelas.

Dalam situasi kuasa Abdullah tersungkur dalam suatu proses yang melibatkan pihak pembangkang dan pemerintahannya diambil alih oleh pihak pembangkang, maka kemungkinan Mahathir mempertahankan kredibiliti dirinya dan berselindung di sebalik hujah-hujah dangkal tentang hilang ingatan maupun melaksanakan prerogatif jawatannya tentulah sukar dipertahankan.

Saya tidaklah menentang sebarang usaha untuk menjatuhkan Abdullah, namun segala pihak (khususnya dalam batang tubuh Umno sendiri) yang mahu melihatnya jatuh mestilah mampu membezakan antara hasrat dan natijah pelbagai pihak yang mengambil inisiatif ke arah itu.

Khususnya, kita harus memahami perbezaan besar antara hasrat dan natijah upaya Ku Li dan upaya Mahathir.

Sejak akhir-akhir ini, umpamanya, Mahathir berusaha pula menggambarkan para pemimpin pembangkang seperti Anwar Ibrahim dan Karpal Singh sebagai peminat dan penyokong Abdullah.

Jelaslah bahawa tujuannya ialah untuk mencampur baurkan penentangan terhadap Abdullah itu dengan rasa takut orang Umno sendiri terhadap pemimpin pembangkang. Dengan yang demikian, orang Umno akan lebih gigih berusaha menjatuhkan Abdullah melalui proses Umno sendiri sebelum pihak pembangkang dapat melakukannya.

Jika situasi ini terjadi, maka akan lebih terjaminlah kemungkinan Mahathir memanipulasi keadaan dan mempertahankan dirinya melalui manipulasi yang demikian.

1 comment:

Harris said...

Apakah mantan PM yang telah melantik Pak Lah sebagai penggantinya masih tidak lagi merasa puas hati untuk
'memerintah' negara ini setelah 22 tahun berbuat demikian ? Jika lebih daripada 40 tahun yang lalu , beliau menghasilkan Malay Dilemma , apakah dilema Che Det sekarang ? Mungkinkah pengumuman oleh Pak Lah baru-baru ini untuk memperbaikki sistem Kehakiman sebagai salah satu punca mengapa Che Det tidak sabar-sabar untuk menyingkirkan Pak Lah ? Suharto mati didalam keadaan hina apabila kerajaan Indonesia mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sehingga ke akhir hayat dan Che Det dan Lee Kuan Yew menangisi kematian rakan diktator mereka .