20 April 2008

Memilih Abdullah: Kesilapan Mahathir atau konspirasi yang tidak menjadi?

Semakin hari Dr. Mahathir kelihatannya semakin tidak sabar untuk menyingkirkan Abdullah Badawi. Namun senario yang diharapkannya ialah supaya PM itu disingkirkan oleh Umno sendiri – bukan melalui proses yang melibatkan pihak pembangkang di Parlimen.

Alasan tersiratnya amat jelas: Jika Abdullah tersingkir oleh Umno kemungkinan beliau digantikan oleh seseorang dalam Umno sendiri akan memungkinkan Mahathir terus memanipulasi situasi politik negara ini dari belakang tabir, lebih-lebih lagi jika si pengganti itu terdiri daripada para sekutu yang boleh terus dimanipulasinya.

Oleh kerana itulah Dr Mahathir bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berusaha menjatuhkan Abdullah dalam kerangka percaturan politik kini, termasuklah inisiatif Ku Li. Kinipun beliau sudah menjadi penceramah favorit dalam kegiatan-kegiatan demikian oleh beberapa Bahagian dan kelompok dalam Umno.

Namun, Dr. Mahathir juga sering berhadapan dengan suatu masalah setiap kali dia mengkritik Abdullah. Bagi setiap “kelemahan” yang ditimbulkannya, orang akan bertanya tidakkah kelemahan Dr. Mahathir juga jauh lebih besar, bahkan bukankah dia sendiri yang telah memulakan kelemahan-kelemahan tersebut?

Lebih jauh lagi, orang akan bertanya bukankah Mahathir sendiri yang bertanggungjawab bagi peningkatan kerjaya politik dan pemilihan Abdullah Badawi sebagai PM? Bukankah monster yang kita hadapi kini merupakan monster ciptaan Dr. Mahathir?

Oleh kerana itu di Kajang baru-baru ini, untuk kesekian kalinya, Dr. Mahathir telah membuat pengakuan bahawa pemilihan dan peningkatan Abdullah untuk jawatan yang dipegangnya sekarang merupakan kesilapannya sendiri.

Sebagaimana biasa, Dr. Mahathir mencoba berselindung di sebalik kelemahan manusiawinya yang menyebabkan dia menjadi “a very bad judge of human character”. Menurutnya, pada waktu itu dia telah tersalah tanggap sifat dan sahsiah Abdullah Badawi yang sebenarnya, kerana pada waktu itu dia terkenal sebagai “Mr. Clean”.

Soalnya ialah: Pernahkah Dr Mahathir benar-benar berminat untuk mencari seorang yang bersih, seorang Mr. Clean, dalam pasukan pimpinannya maupun dalam kabinetnya?

Dan kini setelah melihat Abdullah beberapa tahun bertindak sebagai seseorang yang berkuasa, dia amat menyesali peranannya memilih Abdullah dahulu. Oleh kerana itulah dia kini begitu ghairah mengkritik Abdullah – dan berusaha menjatuhkannya!

Bagi saya alasan yang diutarakan Dr Mahathir ini merupakan alasan yang amat lemah, penjelasan yang tidak tulus dan sengaja diada-adakan.

Pengunduran Dr. Mahathir dari kekuasaan yang dipegangnya selama lebih dua dasawarsa itu bukanlah pengunduran yang berlaku dengan tiba-tiba. Sejak Umno dan BN menghadapi kekalahan teruk pada tahun 1999 (hampir sama teruknya dengan kekalahan tahun 2008), Dr Mahathir telah berusaha keras untuk memulihkan Umno.

Menjelang tahun 2003 usahanya itu ternyata gagal. Dr. Mahathir mulai sedar bahawa BN dan Umno akan menghadapi malapetaka yang lebih besar jika dia sendiri terus memimpin parti itu dalam pilihanraya yang berikutnya – dijangka akan berlangsung pada tahun 2004.

Dr. Mahathir ingin meneruskan zaman pemerintahannya yang sudah lama itu, namun keadaan tidak lagi mengizinkan. Oleh itu, dia sejak beberapa lama sudah merencanakan pengundurannya tetapi dengan hasrat terselindung untuk terus dapat mempertahankan legacy dan kepentingan diri dan keluarganya.

Oleh yang demikian, dia tidak berminat untuk mencari seorang pengganti yang dijangka akan lebih mantap daripada dirinya sendiri – dan dengan itu akan dapat menghindarkan kemungkinan kegemilangan zaman dan dirinya dimalapkan oleh kejituan penggantinya itu.

Abdullah Badawi merupakan pilihan yang dilakukan secara sedar oleh Dr Mahathir dalam kerangka rancangan “pengunduran dirinya” yang palsu dan tidak berniat murni itu.

Dr Mahathir bukan baru mengenal Abdullah – dia merupakan rakan sejawatannya dalam kerajaan dan dalam Umno selama berdekad-dekad lamanya. Malah dia pernah menjadi musuh – dan disingkirkan – kerana keterlibatannya dengan kelompok Ku Li yang telah mencabar kepimpinan Dr Mahathir.

Oleh yang demikian, tentulah mustahil Dr Mahathir tidak mengenal Abdullah Badawi yang sebenarnya, menyedari segala kekuatan dan kelemahannya, apakah beliau merupakan “bahan” yang wajar dijadikan calon PM negara ini.

Namun pemilihan Abadullah telah dirancang dengan tujuan tertentu.

Oleh yang demikian, banyak orang yang terperanjat dan kaget, apabila Dr Mahathir pada mulanya memilih Abdullah sebagai timbalannya dalam Umno dan dalam kerajaan – melangkahi beberapa tokoh lain yang jauh lebih tinggi kedudukannya dalam hirarki kepimpinan Umno.

Nyatalah bahawa Abdullah telah dipilih (mengatasi tokoh-tokoh lain itu) bukan kerana kekuatan dan kelebihannya – malah kerana kelemahannya. “Kelemahan” itu diperlukan sebagai semacam jaminan bahawa legacynya sendiri tidak akan dimalapkan dan diatasi (overshadow) dan penggantinya itu akan terus dapat dimanipulasi untuk terus melindungi kepentingan dirinya sendiri.

Salah satu faktor besar yang menjadi pertimbangan Dr. Mahathir dalam membuat perkiraan tentang penggantinya itu ialah Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang meringkuk di penjara Sungai Buloh.

Dr Mahathir perlu memastikan bahawa si penggantinya kelak merupakan seseorang yang tidak begitu bersimpati (malah kalau boleh bersikap amat membenci dan memusuhi) terhadap Anwar demi menjamin bahawa nemesisnya itu tidak akan kembali dengan segala kekuatannya untuk menghantui Dr. Mahathir pada waktu zaman persaraannya kelak.

Dan siapakah yamg lebih membenci Anwar Ibrahim pada waktu itu, berdasarkan sejarah persaingan antara mereka dalam konteks kepimpinan Umno, kepimpinan Umno Pulau Pinang, persaingan dalam sejarah gerakan-gerakan pelajar yang mereka pimpin (PKPIM dan GPMS)?

Dr Mahathir memerlukan Abdullah sebagai tangkal untuk menghindar rasukan momok Anwar Ibrahim yang masih bertapa di Sungai Buloh ketika itu.

Sewaktu Dr Mahathir mengumumkan pengunduran dirinya dalam suatu peristiwa yang penuh drama dan air mata di pentas Perhimpunan Agung Umno pada tahun 2003, kedudukan Abdullah sebagai penggantinya telah menjadi begitu kuat dan mantap.

Abdullah seterusnya memperoleh kemenangan dan mandat besar dalam PRU-11 pada tahun 2004 – bukan atas reputasi dirinya sebagai penerus warisan Dr Mahathir tetapi sebagai pengganti Mahathir. Abdullah mwmpin BN dalam pilihanraya tahun 2004 itu sebagai lambang cahaya baru dan harapan baru setelah tiga dekad yang muram lagi melemaskan di bawah Dr Mahathir.

Kemenangan besar Abdullah itu sesungguhnya merupakan kekecewaan pertama bagi Dr Mahathir dalam keresahannya untuk memastikan bahawa legasinya tidak diatasi oleh penggantinya.

Kekecewaan itu semakin hari semakin bertambah pula, berikutan dengan langkah Abdullah menguak ketepi beberapa rancangan dan dasar yang telah dimulakannya – dan dengan Abdullah sendiri mula memantapkan amalan kronisme dan nepotismenya sendiri pula.

Oleh yang demikian, dakwaan Dr Mahathir bahawa perlantikan Abdullah sebagai penggantinya itu merupakan suatu kesilapan merupakan dakwaan yang tidak berasas dan tidak boleh dipercayai. Malah perlantikan itu merupakan suatu rencana jahat yang ternyata tidak menjadi.

Kini, Dr Mahathir tampaknya sedang berusaha gigih untuk memastikan bahawa Abdullah Badawi akan tumbang melalui proses yang berlaku dalam batang tubuh Umno sendiri. Sebab itu dia tidak sekadar rajin berceramah di majlis anjuran Bahagian-Bahagian Umno yang anti-Abdullah dan memberikan sokongan kepada beberapa inisiatif seperti inisiatif yang dipimpin Ku Li.

Dr Mahathir amat mengharapkan bahawa senario yang demikianlah yang akan terjadi. Kejatuhan Abdullah melalui penolakan Umno sekurang-kurangnya akan memberikan harapan tentang kemungkinan kuasa Abdullah diambil alih seseorang yang mungkin dapat dimanipulasinya – tambahan pula jika anak sendiri terlibat dalam kelompok berkuasa tersebut.

Yang amat ditakuti Dr. Mahathir kini adalah kemungkinan Abdullah tewas melalui proses di Parlimen yang akan menyebabkan kuasanya jatuh ke tangan pihak pembangkang.

Dengan terjadinya senario yang demikian, kemungkinannya memanipulasi akan hilang dan pendedahan tentang dosa-dosa masa lampaunya akan menjadi lebih mungkin – seperti yang telah terjadi dalam hubungannya dengan kes pita Lingam dan dakwaan Param Coomaraswamy baru-baru ini.

Patutlah, dalam usahanya untuk menggesa para ahli Umno lebih cepat bertindak, tuduhan terakhirnya ialah bahawa pihak pembangkang kini (yakni para pemimpin Pakatan Rakyat) merupakan penyokong dan peminat Abdullah Badawi yang paling besar. Oleh itu Umno harus bertindak segera menjatuhkan Abdullah, sebelum pihak pembangkang berjaya melakukannya.

3 comments:

Unknown said...

Tidak mengejutkan bila Pak Lah membuat kenyataan baru-baru ini, beliau akan melakukan proses peralihan kuasa kepada Najib hanya selepas permilihan UMNO pada bulan Disember 2008 akan datang ini.

Pak Lah didesak berundur dari jawatan Presiden UMNO oleh sebahagian besar ahli-ahli UMNO ekoran kemerosotan prestasi BN pada piliharaya umum ke 12 yang lalu. Walaupun tidak patut kemerosotan itu dibebankan kepada Pak Lah seorang tetapi dalam keadaan UMNO yang telah tenggelam punca sekarang ini, UMNO telah menjadikan Pak Lah sebagai kambing hitam mereka.

Untuk meredakan kemarahan orang ramai terutamanya orang-orang UMNO yang tengah berang itu Pak Lah terpaksa mengalah untuk melakukan proses peralihan kuasa kepada penggantinya tetapi hanya selepas pemilihan UMNO akan datang ini.

Apabila Pak Lah dilihat mahu berundur, barulah ahli-ahli UMNO berasa agak lega sedikit.

Walupun Pak Lah mengatakan Najiblah yang akan menggantinya selepas beliau berundur tetapi kita tahu Pak Lah tidak selesa kalau Najib menjadi PM. Dia hanya berkata begitu kerana secara tradisinya Timbalan Presiden akan mengambil tempat Presiden apabila Presiden berundur.

Tujuan dia berkata demikian adalah juga bagi meredakan penyokong-penyokong Najib yang telah lama memasang angan-angan hendak melihat Najib menjadi PM.

Semasa Pak Lah mengambil jawatan PM dari Tun Mahathir, Pak Lah mengambil masa yang lama juga untuk melantik Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi Pak Lah akhirnya terpaksa juga melantik Najib kerana di waktu itu beliau tidak ada banyak 'pilihan politik'.

Mungkin ada strategi Pak Lah yang tersendiri kenapa beliau memberi syarat untuk peralihan kuasanya ditangguhkan selepas pemilihan UMNO Disember 2008 ini.

Pertamanya Pak Lah hendak memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap diri beliau. Keduanya adalah untuk mencari pengganti yang disukainya yang bakal memimpin negara ini. Sudah tentu Pak Lah mahu penggantinya nanti mempunyai aspirasi politik seperti beliau juga.

Aspirasi Pak Lah dengan Mahathir adalah berlawanan sekali, Pak Lah suka untuk memajukan sektor pertanian sedangkan Mahathir suka kepada projek mega. Dalam keadaan dunia yang bakal menghadapi krisis makanan ini, polisi Pak Lah lebih pragmatik.

Pak Lah tahu Najib adalah orang yang disukai Mahathir untuk menjadi PM. Oleh itu Pak Lah melihat kalau Najib menjadi PM tentu sedikit sebanyak cara politik dan polisinya akan terikut-ikut cara Tun Mahathir.

Hanya pada pemilihan UMNO akan datang ini sajalah peluang yang ada pada Pak Lah untuk beliau mencari pengganti beliau yang disukainya. Tentunya Pak Lah tidak berasa ralat untuk berundur dari jawatan PM, tetapi yang menjadi ralat kepada beliau ialah bila tidak dapat pengganti yang disukainya.

Telajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata kalau tak dikota buruk padahnya. Pak Lah telah memberi janji untuk berundur. Penyokong-penyokong Najib pula telah meletakkan harapan yang tinggi kepada janji Pak Lah tersebut.

Mampukah Najib mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO bulan Disember 2008 ini? Kalaulah dibuatnya Najib tewas dan orang Pak Lah menang dalam pertandingan itu nanti, tentu nasib politik Pak Lah akan berubah sama sekali.

Selain dari itu nasib Najib juga ditentukan oleh pilihanraya umum ke 13, kemaraan Pakatan Rakyat seperti sukar untuk dibendung. Kalau Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini, tidak ada erti lagilah kepada Najib sekalipun dia menang dalam pemilihan UMNO akan datang ini.

Samuel Goh Kim Eng said...

When you have made your own choice
You should be really glad and rejoice
It's time to be satisfied and save your voice
Till it's time for you to pay the full price

(C) Samuel Goh Kim Eng - 210408
http://MotivationInMotion.blogspot.com
http://msi.Rocky101.com
Mon. 21st April 2008.

Adi said...

AAB drastic reform seems confusing? Or really meant to confuse those in the game

More ... www.warisankini.blogspot.com

Thank.