18 April 2008

Memulihkan Umno: Mengapa Anwar masih jadi isu?

Baru-baru ini laman blog ‘MyKMU’ – dipercayai dikendalikan oleh para penyokong Dr. Mahathir – telah menganjurkan sebuah forum awam bagi membincangkan isu “pemulihan Umno”.

Forum yang berlangsung di Dewan Tari Menari, Hotel Singgahsana Petaling Jaya itu sejak semula telah mencetuskan kontroversi. Ada pihak yang menyokong Abdullah Badawi, misalnya Ketua Penerangan Umno Muhammad Muhd. Taib, telah berusaha bukan sekadar menggesa orang Umno supaya tidak menghadirinya, malah mencoba menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Namun demikian, ada pula orang yang meskipun tidak diundang tetap menghadirkan diri (dan mengambil bahagian) dalam forum itu – misalnya bekas Menteri Besar Selangor, Mohd Khir Toyo yang tampaknya amat memerlukan pendedahan dirinya kepada khalayak Umno seperti itu dalam rangka percaturan politik Umno seterusnya.

Berdasarkan laporan-laporan yang kita baca tentang forum itu, tidak banyak gagasan baru tampaknya yang telah tercetus tentang gagasan pemulihan Umno setelah menghadapi tsunami yang melandanya pada PRU12 yang lalu.

Lebih banyak perhatian masih tertumpu kepada mempersalahkan tokoh dan individu tertentu. Tidak ada pemikiran mendalam lagi analitis tentang masalah jangka panjang yang telah menjadikan Umno begitu tidak relevan dalam arena politik Malaysia hari ini.

Namun, majlis tersebut telah mencetuskan suatu peristiwa yang agak menggemparkan. Dalam sesi tanya-jawab forum tersebut Ketua Pemuda Umno Cawangan Parit 8 Sekincan, Saznizam Adham, telah mengemukakan pertanyaan tentang mengapakah demikian sukar bagi Umno untuk menerima kembali Anwar Ibrahim sebagai pemimpin, demi menyelamatkan parti itu.

Dengan segera Saznizam telah disorak dan diboo, ditarik tengkuknya dan diusir keluar dewan tari menari Hotel Singgahsana itu di tengah-tengah kata kesat dan maki hamun.

Hakikat bahawa peristiwa yang demikian itu telah terjadi dalam sebuah majlis forum yang membincangkan masa depan Umno di kalangan sesama orang Umno telah banyak diperkatakan. Banyak juga yang mengulasnya sebagai pertanda tentang betapa murungnya situasi dalam Umno kini, sehingga tidak wujud lagi kemampuan dan ketenangan cendekia dalam usaha membincangkan masalah-masalah yang dihadapinya.

Bagi saya, apa yang lebih menarik daripada peristiwa “penghinaan Saznizam” ini ialah hakikat betapa sensitifnya isu kewujudan Anwar sebagai suatu faktor dalam percaturan politik Umno.

Anwar kini jelas sudah menyatakan pendiriannya tidak akan meneruskan “kerjaya” dan perjuangan politiknya dalam kerangka Umno. Beliau bukan sekadar sudah mulai meneroka jalur-jalur baru pergerakan politik di luar Umno, malah telah mulai memperlihatkan kejayaannya memulakan sesuatu yang merupakan alternatif terhadap budaya politik yang telah sekian lama dipelopori Umno.

Gagasan Anwar kembali menyertai Umno sebenarnya sudah hangat diperkatakan sejak waktu beliau dibebaskan Mahkamah daripada tahanan penjaranya beberapa tahun lalu. Namun banyak juga para pemimpin kanan Umno yang menolak kemungkinan itu – atas alasan bahawa Anwar ternyatak telah bertindak sebagai “pembelot” terhadap perjuangan Umno.

Antara yang paling keras sikap menentang “kepulangan” Anwar ialah beberapa pemimpin muda Umno seperti Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin – kerana mereka pastinya melihat kehadiran Anwar sebagai suatu halangan terhadap peningkatan kerjaya mereka sendiri dalam parti itu.

Di kalangan sesetengah pemimpin Umno yang lebih matang dan lebih berpengalaman – umpamanya Tengku Razaleigh Hamzah – terdapat kecenderungan malah untuk menasihati Anwar bahawa salah satu cara yang paling berkesan untuk menjamin pemulihan dan masa depan kerjaya politiknya ialah kembali ke pangkuan Umno.

Yang menariknya, segala perbincangan tentang “peranan” Anwar dalam Umno itu berlaku dengan kencangnya tanpa dicetuskan oleh sebarang usaha dari Anwar sendiri untuk menyatakan bahawa beliau berminat untuk kembali kepada Umno.

Malah jika dipertimbangkan secara logik dam saksama, kemungkinan Anwar mempertimbangkan langkah itu pada waktu ini sebenarnya amat kecil – memandangkan betapa parahnya beliau menjadi mangsa penindasan dan tindak tanduk politik dalaman Umno.

Dan kini pilihan Anwar untuk meneruskan wadah perjuangan politiknya di luar Umno sudah mulai membuahkan hasil – dengan Pakatan Rakyat yang dipeloporinya di kalangan “parti-parti pembangkang” mencapai kejayaan besar dalam PRU-12 yang lalu sehingga memugkinkan pakatan itu memerintah di lima negeri.

Di manakah lojiknya Anwar akan memilih untuk terjun dari kapal barunya yang sedang belayar dengan baik itu untuk menyertai kapal Umno yang memperlihat segala tanda-tanda akan segera terdampar, malah tenggelam? Pertimbangan strategi politik yang bagaimanakah yang masih mendorong orang bercakap tentang kembalinya Anwar ke pangkuan Umno?

Mengapakah citra dan tampang Anwar masih bermain-main di kepala dan benak orang-orang Umno seperti Saznizam Adham, di samping menimbulkan rasa marah, gempar dan penasaran di kalangan orang-orang Umno lain yang tidak sealiran dengannya dalam isu ini? Di satu pihak Anwar dianggap satu-satunya harapan bagi Umno, sedangkan di pihak lain pula Anwar perlu dimusnahkan dengan apa cara sekalipun.

Bagi saya isu Anwar ini sebenarnya melambangkan suatu “dilema agung” yang kini sedang melanda Umno. Dengan pukulan tsunami yang dialami parti itu sejak PRU-12 yang lalu, semua pihak, di dalam maupun di luar Umno, tampaknya sekata bahawa parti itu perlu diselamatkan, malah direformasi dan diremajakan.

Namun demikian, dilihat dari segi sikap pelbagai pihak dalam batang tubuh Umno sendiri usaha menyelamatkan Umno itu mengambil perpektif yang amat konservatif dan conservationist sifatnya – yakni sikap mempertahankan Umno dalam bentuk seperti sediakala dan seadanya.

Pada hal, jika dianalisis secara saksama, Umno ternyata sudah tidak relevan lagi, tidak selaras dengan pertumbuhan masyarakat yang telah terjadi di negara ini selama setengah abad yang lalu.

Secara ringkasnya, bolehlah disimpulkan bahawa Umno lahir dari situasi “masyarakat majmuk” (plural society) yang dilahirkan oleh sejarah kolonial. Dan bersama rakan-rakan perkaumannya seperti MCA dan MIC, parti itu tidak pernah berusaha secara cendekia untuk membentuk kembali masyarakat majmuk itu menjadi sebuah negara-bangsa (nation) yang tulen.

Umno hingga hari ini menanggap dirinya sebagai “pembela Melayu” dalam kerangka pemikiran masyarakat majmuk yang lama itu. Satu-satunya sumbangan dan input cendekianya dalam memainkan peranan itu ialah DEB yang bertunjangkan pemikiran tentang peratusan pengagihan antara kaum dalam kerangka masyarakat majmuk tersebut.

Begitu terpusatnya pemikiran Umno terhadap gagasan DEB itu sehingga sebahagian besar gagasan yang diperjuangkan dalam kerangka nasionalisme Melayu menjadi terabai – apa lagi direformulasi untuk disesuaikan dengan peredaran zaman dan perubahan sosial. Lihatlah sahaja apa yang telah terjadi kepada bahasa Melayu, pendidikan Melayu, budaya Melayu dalam masa setengah abad zaman pasca-kolonial yang ditadbir Umno.

Mentadbir masyarakat majmuk yang diwarisinya dengan pendekatan “muddling through” – itulah sahaja yang telah disumbangkan dalam sejarah panjangnya yang “gemilang” itu. Sumbangan yang berbentuk sedemikian, khususnya pemikiran dan wawasan mendalam dalam melaksanakan projek nasionalisme bagi membentuk sebuah negara-bangsa, sebenarnya merupakan sumbangan Umno yang paling lemah dan paling menyedihkan.

Oleh yang demikian, bila Umno terpaksa berhadapan dengan kemerosotan yang mencemaskan kerana kegagalannya mempertahankan kedudukan dan kuasanya dalam masyarakat Malaysia yang secara semulajadi telah banyak berubah, maka parti itu menjadi gempar, malah menjadi penasaran.

Semuanya sependapat bahawa Umno perlu berubah, direformasi dan diremajakan. Tetapi ke arah manakah reformasi Umno itu hendak dituju? Di sinilah terletaknya kesukaran dan “dilema agung” Umno itu.

Para pemimpin Umno pada asasnya begitu terbentuk dan terjebak dalam tradisi mentadbir dan muddling through, sehingga tidak ada di kalangan mereka yang memperlihatkan kemampuan dan kecenderungan cendekia untuk memikirkan soal arah perubahan itu dengan mendalam.

Golongan mudanya (khususnya para pemimpin Pemuda Umno) juga tidak memperlihatkan kemampuan dan kecenderungan ke arah pemikiran mendalam dan sumbangan yang bersifat cendekia. Kebanyakan mereka sekadar menjadi alat dan batu catur bagi pihak para pemimpin yang bertradisikan muddling through itu – sehingga tidak pernah tercetus pemikiran baru yang mendalam tentang arah seterusnya Umno dari golongan pemimpin muda ini.

Yang kini ghairah hendak meremajakan Umno dalam usaha menyelamatkan parti itu ialah golongan tua, veteran, sudah bersara atau telah dikesampingkan. Namun demikian, golongan ini juga tidak banyak memberikan harapan. Selain daripada sifat dan sikap mereka yang ultra-konservatif, mereka sebenarnya merindukan kembalinya Umno ke zaman perjuangannya dalam kerangka masyarakat majmuk zaman kolonial.

Mereka tidak senang dengan kelemahan pimpinan kini dan dengan tampang dan citra pimpinan golongan muda yang ada. Namun mereka tidak menunjukkan arah masa depan yang dinamis; mereka sekadar menoleh ke masa lampau, terjebak dalam pemikiran zaman lampau mereka sendiri.

Bayangkan kerisauan dan kekecewaan seorang pemimpin bawahan yang sedang muncul dalam Umno seperti Saznizam. Dia tidak melihat sebarang harapan bagi pemulihan dan peremajaan Umno dari dalam batang tubuh Umno sendiri – pada hal dia juga dapat melihat sedang berlakunya semacam kesedaran dan pemikiran politik baru yang dicetuskan oleh Anwar di luar kerangka batang tubuh partinya itu.

Pemikirannya tentang peranan Anwar dalam Umno mungkin tidak realistik, namun sebagai seorang yang fanatik dalam upaya menyelamatkan Umno dia telah berfikir secara bersuara (dengan agak lantang juga) untuk bertanya mengapakah Anwar Ibrahim tidak dibawa sahaja kembali untuk memimpin Umno.

Di bawah mendung konservatisme Umno, pemikiran yang demikian itu tentulah tidak dapat diterima. Maka Saznizam di herdik, diboo, ditarik tengkuknya dan dia kemudiannya dihumban keluar dari Dewan Tari Menari Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Dengan caranya yang ironis, pemimpin muda Umno ini telah menjadi “mangsa” Anwar Ibrahim dalam Umno.

No comments: