23 July 2008
Lagi-lagi Isu Perpaduan Melayu...
Sekali lagi pimpinan UMNO dan BN mendedahkan taktik kotornya sekadar untuk mempertahankan kekuasaannya - yang terbaru pendedahan bekas MB Selangor Khir Toyo yang mereka telah menawarkan jawatan MB Selangor kepada pimpinan PAS sebagai 'balasan' untuk bersepadu dengan UMNO menubuhkan kerajaan bercampur di Negeri Selangor setelah mereka tewas dalam pilihanraya yang lalu.
Menurut Khir, upaya mereka itu telah digagalkan oleh pengaruh Anwar Ibrahim - sekaligus menggagalkan usaha UMNO untuk menyatupadukan orang Melayu di bawah naungan UMNO dan PAS.
Tidakkah Khir sedari yang sikap perkauman dan oportunis sebegitulah yang telah menyebabkan kekalahan mereka pada pilihanraya tersebut? Selama ini orang Melayu mudah ditakutkan dengan retorik 'ancaman' daripada golongan ekstremis bukan Melayu (baca: parti bukan Melayu bukan MIC atau MCA) - namun ini semua telah berubah pada tahun 2008. Rakyat semakin sedar bahawa isu perkauman sering dipergunakan oleh kerajaan BN untuk mengekalkan kekuasaan mereka. UMNO sebenarnya tidak pernah benar dan ikhlas dalam mempertahankan ketuanan Melayu - malah mereka lebih suka menggunakan retorik 'kelemahan' dan 'kemiskinan' Melayu untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya terus bergantung harap kepada UMNO. Apakah yang telah mereka lakukan selama ini untuk meningkatkan keyakinan dan martabat orang Melayu? Mengapakah selama 50 tahun mereka berkuasa kita masih belum mempunyai keyakinan untuk memperjuangkan bangsa Malaysia?
Kini PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat menawarkan sebuah alternatif - sebuah alternatif yang tidak lagi bertunjang kepada paksi perkauman. Orang Melayu tidak perlu gusar dan menganggap mereka terancam di negara ini. 'Pencairan' dasar perkauman ini telah membolehkan rakyat menumpukan perhatian kepada isu dan masalah negara yang lebih penting - seperti ketelusan kerajaan, ruang demokrasi, ekonomi dan sebagainya.
Sangat menggusarkan jika UMNO dan BN masih tidak dapat memahami dynamics ini. Di kala rakyat dengan jelas dan terang-terangan telah menolak politik perkauman pada pilihanraya yang lalu, UMNO dan BN masih terperangkap dalam agenda kolot yang diperjuangkan dulu. Agenda tersebut telah terbukti gagal. Malah agenda tersebut telah gagal segagal-gagalnya di KL dan Selangor terutamanya - di mana parti multi-racial PKR telah menang dengan meyakinkan.
Jelas sekali UMNO kini bagaikan dinosaur yang sedang menuju self-destruction kerana ketidakmampuan mereka untuk bukan sahaja memahami kehendak rakyat yang sebenar - tetapi juga kerana kebingalan mereka untuk terus menggunakan retorik yang sudahpun lepas tarikh luputnya.
Dalam keadaan ini, pihak yang masih merasa ada nilainya untuk bekerjasama dengan UMNO itu hanyalah pihak yang lebih lemah daripada UMNO sendiri - dan saya yakin dan berharap, untuk masa depan negara kita, tidak ada pihak yang sebegitu memalukan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Hello umno,
Bukan bakti yang kau taburi
Tetapi hati rakyat kau kaburi
Dengan janji yang tidak kau tepati
http://www.kerajaanrakyat.com/
Post a Comment