Keputusan Anwar Ibrahim untuk mengumumkan yang beliau akan bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang sememangnya satu keputusan yang telah lama dinantikan. Dengan bertanding untuk - dan memenangi - sebuah kerusi Parlimen, Anwar akan mendapat legitimacy politik yang akan melengkapkan pembabitan beliau dalam memimpin Pakatan Rakyat. Keputusan ini menunjukkan bahawa Anwar bukan sahaja berani tampil untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang akan dihadapi daripada Barisan Nasional, malah dia berani melakukan ini dalam ruang demokrasi yang sebenarnya masih terhimpit dan tidak adil kepada pihak 'pembangkang'.
Tidak harus dilupakan juga keputusan isterinya Dr Wan Azizah Ismail, Presiden PKR, untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan Anwar bertanding. Walaupun ramai menyangka kerusi Bandar Tun Razak adalah kerusi yang seharusnya ditandingi Anwar - memandangkan penyandangnya Tan Sri Khalid Ibrahim juga merupakan ADUN Ijok dan Menteri Besar Selangor - namun pandangan dari awal lagi adalah paling tepat untuk Wan Azizah berundur kerana kehadiran Anwar, Wan Azizah dan anak mereka Nurul Izzah di Parlimen akan menimbulkan wasangka yang PKR adalah parti yang didominasi keluarga Anwar - walau bagaimanapun kemampuan mereka sebagai pemimpin.
Wan Azizah seharusnya diangkat kerana membuat keputusan ini - dan 10 tahun pembabitan beliau dalam politik secara langsung akan diingati kerana beliau telah berjaya untuk terus meniupkan semangat reformasi walaupun ia kian malap pada tahun 2004. Wan Azizah pada tahun itu menjadi satu-satunya wakil PKR di Parlimen, dan terus menerajui parti hingga kejayaannya pada bulan Mac tahun ini.
Cabaran bagi seluruh rakyat Permatang Pauh bukanlah sedikit. Dalam pilihanraya kecil, kita sedia maklum jentera Barisan Nasional dan kerajaan Pusat akan tertumpu ke kawasan tersebut. Ketakutan BN terhadap Anwar akan menjadikan pilihanraya kecil ini - jika diteruskan - yang paling kotor dalam sejarah. Namun pilihanraya yang lalu telah membuktikan bahawa rakyat yang makin celik dan marah tidak mudah untuk ditipu. Tanggungjawab kita semua adalah untuk memastikan yang kita tidak akan ditipu lagi.
Bangkitlah, dan buatlah keputusan yang paling tepat untuk Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Demi untuk kebaikan masa depan Tanahair yang tercinta. Sama-sama kita berdoa kepada tuhan yang pilihanraya kecil ini dapat dijalankan degan aman, damai dan adil.
Kepada pengundi di Permatang Pauh, pilihanraya kecil ini adalah titik tolak bermulanya Malaysia baru. Masa depan Tanahair kita sekarang terletak pada tangan anda. Demi generasi yang akan datang, berfikirlah degan hati yang terbuka dan buatlah keputusan yang amat bijak sekali. Kamulah yang akan disanjong sebagai Wira Mayalsia Baru dalam sejarah Malaysia.
Post a Comment